TUARAN: 29 Dis 2024 – Kerjasama Bersatu – Star (BEST) mahu memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat memenangi semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah 2025 menerusi parti-parti tempatan.
Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah, Senator Datuk Edward Linggu berkata kerjasama yang dimaterai parti itu bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan akronim (BEST) pertengahan tahun ini mahu mengoptimum peranan GRS sebagai gabungan parti tempatan menerajui Kerajaan Sabah.
“Kita memegang prinsip kepimpinan yang dicetuskan Presiden Star (Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan) untuk memperoleh autonomi mencorakkan pembangunan Sabah menerusi gabungan parti-parti tempatan,” kata Linggu.
Linggu yang juga Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baru 2025 Star Sabah kawasan Parlimen Tuaran di Chanteek Borneo, Kg. Lakang, Tamparuli pada Ahad.
Linggu menegaskan, rakyat Sabah sudah matang untuk menentukan corak pembangunan sendiri dan seharusnya parti-parti dari Malaya memberi autonomi kepada parti-parti tempatan Sabah untuk memerintah.
Majlis yang menyajikan hidangan tradisi dan persembahan pentas Krismas itu dihadiri para pemimpin Star Bahagian Tamparuli, Kiulu, Sulaman dan Pantai Dalit serta pemimpin PBS yang diwakili Timbalan Ketua Bahagian PBS Tamparuli, Madin Anak diiringi Roonie Soon.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Penasihat Star Sabah, Datuk Raymond Tombung, Setiausaha Penganjur, Terence Sinti, Ketua Wiramuda Jordan Jude Ellron, Pengarah Strategik Dr Paul Porodong, Ketua Bahagian Star Karambunai Kapitan Datuk Stephen Teo, Ketua Bahagian Star Tamparuli, John Jinitoh Sontori, mantan senator dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Kalakau Untol dan figur seni budaya Joanna Sue Henley Rampas.