KOTA KINABALU: STAR Sabah Karambunai menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan, untuk menentukan sebarang kemungkinan kerjasama pilihan raya dengan parti lain menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Bahagian STAR Karambunai merangkap Penyelaras STAR Labuan, Datuk Kapitan Stephen Teo, berkata pihaknya akan terus mendukung sepenuhnya pendirian Dr Jeffrey berhubung sebarang langkah yang diambil tentang perkara berkenaan.
“Pendirian kami jelas. Kami mendukung sepenuhnya pendirian Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berhubung sebarang kemungkinan kerjasama pilihan raya,” katanya kepada media selepas perasmian Sukan Solidariti Karambunai di Dewan Sarayo Malawa, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), pada Ahad.
Beliau berkata, sebarang perkembangan berkaitan kerjasama politik atau pilihan raya perlu mengambil kira kepentingan parti serta aspirasi rakyat Sabah.
Kenyataan itu menyusul laporan mengenai kemungkinan perbincangan antara Warisan, STAR dan KDM tentang kerjasama menghadapi PRU16. Laporan sebelum ini turut menyebut spekulasi mengenai kemungkinan Warisan mendekati STAR sebagai rakan strategik dalam pilihan raya akan datang.
Stephen berkata, STAR akan terus memberi perhatian kepada perkembangan politik semasa dan menyerahkan sebarang keputusan berkaitan kerjasama pilihan raya kepada kepimpinan parti.
Sementara itu, Sukan Solidariti Karambunai yang membuka pertandingan badminton dan sepak takraw mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Majlis penutupan kejohanan itu dirasmikan Setiausaha Agung STAR, Senator Datuk Edward Linggu, yang turut menyampaikan penghargaan kepada para peserta, penganjur dan semua pihak yang menjayakan program berkenaan.
Program berkenaan bukan sahaja menyediakan ruang kepada masyarakat setempat untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan semangat kesukanan, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan serta perpaduan dalam kalangan komuniti Karambunai.






