Oleh Henry Bating
WILAYAH Persekutuan menempatkan media sebagai rakan strategik penting melaksanakan program pembangunan, antaranya dengan meletakkan Persatuan Penggiat Media Labuan sebagai entiti penting dalam rantaian agensi penyampai berita rasmi kepada orang ramai.
Pada tahun 2022 ketika Wilayah Persekutuan ditadbir urus di bawah sebuah kementerian, Media Labuan diberi tanggungjawab meninjau panorama Langkawi UNESCO Global Geopark menjelang pelaksanaan konsep sama pelancongan di Labuan.
Manakala pada tahun 2023 ketika Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) mengambil alih tadbir urus kementerian, Media Labuan dalam lawatan sempena sambutan kemerdekaan 30 Ogos – 2 Sept 2023 terus diberi tanggungjawab dan kali ini meninjau sistem percukaian tanah dan galian di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Kedua-dua tinjauan tersebut yang diurus-setiakan Perbadanan Labuan (PL) menerima perhatian langsung dari pengurusan tertinggi Wilayah Persekutuan, iaitu Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim selaku menteri pada tahun 2022 dan Datuk Seri Rosidah Jaafar selaku Ketua Pengarah di bawah Jabatan Perdana Menteri tahun ini.
Turut serta dalam rombongan Media Labuan diketuai Presiden Jainudin Djimin ialah Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Azman Sipan, Ketua Biro Bernama Labuan, Jailani Hasan, wakil-wakil media awam dan swasta serta urus setia dari PL.
Wakil-wakil media terdiri dari Muhammad Khairul Azad Yunus, Ramlen Salleh, Henry Bating, Mohd Izuandi Jaludin, Harjay Wandy Jack, Khairul Idin, Lo Pei Ling, Jeffrey Nian dan Tong Piak Kong.
Manakala urus setia pengiring PL terdiri dari Mohammad Khairul Yakop, Nazera Roslan, Azmi Mohd Jandi dan Hj Gafar Yunus @ Roberth.
Dalam perbincangan bersama menteri tahun lalu, Shahidan menjelaskan tentang pelaksanaan Labuan Geopark serta sektor perekonomian kecil dan sederhana bagi mendukung pelancongan berkonsep geopark.
Perbincangan dilanjutkan tahun ini di mana Ketua Pengarah, Rosidah menyentuh tentang sambutan 50 tahun penubuhan Wilayah Persekutuan pada tahun hadapan (2024) yang memerlukan keterlibatan seluruh jabatan dan agensi dalam Wilayah Persekutuan.
Sebelum pertemuan santai di Menara Seri Wilayah Putrajaya itu, rombongan Media Labuan menyempatkan diri berkunjung ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan di Rumah Persekutuan Kuala Lumpur dan Royal Selangor – destinasi berkonsep muzium dan pengilangan pewter tertua di Malaysia.
Di dua tempat tersebut, Media Labuan mencerna signifikan kemerdekaan dengan mempelajari guna tanah sebagai sumber galian dan mengeksplorasi bahan galian ke dalam pelbagai produk pengguna dan cenderamata berasaskan galian timah.
Kewujudan bengkel memproses bahan timah lebih seabad lalu menunjukkan kemerdekan memiliki nilai penting kepada penduduk untuk mencapai kemahiran profesional mengolah sumber bumi sebuah negara merdeka.