PITAS: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan menyambut gembira penyertaan semula penggerak awal United Borneo Front (UBF) ke pangkuan parti itu untuk menyempurnakan usaha kerajaan melaksanakan hak Sabah dalam Malaysia.
Dr Jeffey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata perjuangan menuntut hak kewangan dan kuasa mengikut MA63, Perkara 20 dan Borneonisasi sudah diterima Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan.
“Sekarang kita boleh menuntut pelaksanaan hak tanpa ragu kerana Perdana Menteri Malaysia sekarang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah bersetuju melaksanakan MA63,” katanya.
Dr Jeffrey menegaskan, perjuangan menuntut hak MA63 telah menjadi agenda semua parti dan pemimpin di Borneo, tidak lagi seperti dulu di mana ISA (Internal Security Act) pernah digunakan untuk memenjarakan orang yang bersuara tentang hak rakyat Sabah.
Menurut Dr Jeffrey, gerakan menuntut hak rakyat Sabah dan Sarawak menerusi UBF telah menghasilkan pelbagai pencapaian akhir-akhir ini, namun masih banyak yang perlu diusahakan.
Dr Jeffrey yang juga pengasas UBF lebih 10 tahun lalu berkata demikian dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat STAR Bengkoka di Simpang Kg Rukom – Longgom di sini pada Jumaat.
Pada majlis yang dihadiri 400 orang itu, Dr Jeffrey menerima penyertaan semula Maklin Masiau beserta 320 ahli baharu termasuk mantan Ketua Pemuda STAR Hasmin Azroy Abdullah ke dalam parti itu yang disokong Ketua Bahagian STAR Bengkoka, Henry Matimbun Mojongkok.
Sempena majlis itu, Dr Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan menzahirkan kesediaan membantu pembinaan Dewan DUN Bengkoka beserta kemudahan pejabat pentadbiran.
Hadir sama Pemangku Timbalan Presiden STAR Datuk Kapitan Stephen Teo, Setiausaha Agung Datuk Edward Linggu, Pengarah Strategi Dr Paul Porodong, Penolong Bendahari Agung Datuk Arlinsia Agang, Ahli Majlis Tertinggi Aliapa Osman, Ketua Bahagian Saban Sawayan (Bandau) dan Barani Madalau (Pitas).
Maklin yang merupakan penggerak UBF sejak awal penubuhan pernah bertanding atas tiket STAR (Sarawak) dan calon Bebas DUN Bengkoka pilihan raya negeri lalu.
Dalam pertandingan 11 penjuru dimenangi BN-Umno Harun Durabi yang memperoleh 2,538 undi dengan majoriti 1,337 itu, Maklin memperoleh 1,149 undi berbanding PBS (898) dan terbanyak dari 2,855 undi keseluruhan empat calon Bebas.