KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan telah mempertaruhkan keselesaan hidup sebagai penjawat awam tinggi Sabah untuk meMalaysiakan Malaysia sejak awal 1980-an sebelum memimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah sekarang.
Ketua Penerangan STAR Jalumin Bayogoh berkata Dr Jeffrey yang kini menjawat Timbalan Ketua Menteri telah menyuarakan hak-hak kedaulatan Sabah dalam Malaysia lebih separuh abad sehingga menjadi buruan kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad lalu ditahan di bawah ISA.
“Kini perjuangan Dr Jeffrey kian membuahkan hasil apabila apabila semakin banyak hak Sabah dalam Persekutuan ditunaikan manakala parti-parti politik berlumba-lumba menjadi hero memperjuangkan hak-hak Sabah dalam Malaysia,” kata Jalumin.
Jalumin yang juga Timbalan Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa (KPD) berkata demikian sebagai menyanggah dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan N17 Darau Azhar Matussin.
Azhar menyifatkan ucapan Dr Jeffrey ketika sambutan Hari Malaysia di Keningau sebagai sekadar gula-gula menjelang pilihan raya, diucapkan ketika baru terjaga dari lamunan semata-mata untuk mengambil hati rakyat.
Dalam ucapannya, Dr Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan menyatakan Sabah dan Sarawak telah menyambut Hari Malaysia sejak 1963, manakala sambutan peringkat kebangsaan baru bermula tahun ini di Melaka.
“Hari Malaysia seharusnya dirayakan bersama di seluruh negara kerana tarikh 16 September 1963 merupakan hari pembentukan Malaysia,” kata Dr Jeffrey.
Dr Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau dan ADUN Tambunan menambah, tidak mudah bagi Sabah sampai ke tahap sekarang dalam memartabat hak-hak kedaulatan kerana segalanya telah melalui perjalanan berliku.
Katanya, perjuangan bermula dengan memberitahu rakyat tentang hak-hak Sabah, proses pembentukan Malaysia, Laporan IGC, Perkara 20, aspirasi para pelopor kemerdekaan Sabah, Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Malaysia.
Jalumin menegaskan, banyak tuntutan sudah dicapai meskipun Dr Jeffrey dan STAR baru menjadi sebahagian Kerajaan kerana isu-isu berkenaan tidak dihiraukan para pemimpin Persekutuan sebelum ini termasuk Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.
Menurut Jalumin, perjuangan Dr Jeffrey dan STAR meMalaysiakan Malaysia adalah untuk menjadikan negara ini benar-benar seperti yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak ketika sama-sama membentuk Malaysia. Jalumin yakin, perjuangan meMalaysiakan Malaysia mampu membawa kemakmuran kepada Sabah dan kesejahteraan hidup rakyat.