PAPAR: Kepelbagaian elemen asas dalam Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) merupakan kekayaan unik dalam membentuk kesatuan fungsi dan mendukung pencapaian Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Dekan PPIB UMS Prof. Dr. Lai Yew Meng berkata, dalam menyatukan kepelbagaian yang ada, PPIB mahu mengangkat konsep ‘Power of One’ atau ‘Kuasa Kesatuan’ untuk bergerak bersama.
“Penerapan konsep ‘Power of One’ mahu memanfaatkan setiap elemen yang beraneka ragam dalam PPIB untuk digembleng bagi mencapai tujuan bersama demi kepentingan bersama,” katanya.
Dr. Lai berkata demikian ketika mengalu-alukan warga PPIB yang terdiri daripada staf akademik dan pentadbiran dalam program ‘Team Building’ PPIB 2023.
Menurut Dr. Lai, PPIB diacu dari kepelbagaian keturunan, amalan hidup dan bidag akademik staf yang dapat menjadi asas kekuatan bersama dalam memacu kecemerlangan pelajar dan universiti.
Program yang diadakan di AA Campsite Bolotikon Papar 30 Sept lalu disertai lebih separuh dari seratus lebih warga PPIB melibatkan kampus induk Kota Kinabalu, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Lestari Sandakan.
Sepanjang program sehari di tapak tepi sungai dalam kawasan Kaiduan Papar itu, pelbagai aktiviti dijalankan untuk menerapkan konsep ‘Power of One’.
Antara aktiviti yang dikendali sekumpulan fasilitator terlatih dari Kampus Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kota Kinabalu itu ialah kesiap-siagaan, kepekaan memberi dan menerima maklumat, kemahiran bergerak bersama, ketekunan bersama memanfaat naluri dan berkongsi hasil bersama.
Turut hadir tiga Timbalan Dekan terdiri dari Dr. Abang Razif bin Abang Muis, Dr. Kavitha Ganesan dan Dr. Priscilla Shak.
Hadir sama Ketua Pentadbiran PPIB Timbalan Pendaftar Puan Alna Tugon yang baru ditugaskan menggantikan Timbalan Pendaftar Puan Awina Kamis yang berpindah tugas ke fakulti lain. – Oleh Henry Bating & Shaffarullah Abdul Rahman.