LABUAN: Seorang remaja lelaki ditemui terbaring tidak sedarkan diri di laluan pejalan kaki Jalan Tg Purun antara pusat bandar dengan Ujana Kewangan disyaki terkena renjatan elektrik pada tiang lampu jalan.
Ketua Polis Daerah W.P. Labuan Supt. Ahmad Jawila berkata pihaknya menerima laporan dari abang mangsa berhubung insiden itu kira-kira 12.05 pagi Khamis menyatakan penemuan adiknya.
“Bertindak atas maklumat, pihak polis menghubungi Hospital Labuan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Perbadanan Labuan (PL) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tegasnya, ambulan yang sampai ke tempat kejadian mengesahkan mangsa yang bekerja di sebuah hotel di sini telah meninggal dunia.
Pihak SESB dan PL kemudian bertindak pantas memutuskan bekalan elektrik di lokasi kejadian sebagai tindakan pencegahan dan siasatan punca kejadian.
Menurut Supt. Ahmad, siasatan awal polis mendapati pengadu keluar berjalan kaki mencari adiknya kerana belum pulang pada jam 11.30 malam setelah selesai bekerja.
Polis mengklasifikasi kes itu sebagai laporan kematian mengejut ke atas Ryandeigo Roselee, 18, berbangsa Murut berasal dari Kg. Pauh Tulid, Sook Keningau.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Labuan untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Laluan pejalan kaki di lokasi kejadian ditutup sementara sehingga memperoleh pengesahan SESB dan PL bahawa laluan itu selamat digunakan orang ramai,” katanya.
Supt. Ahmad menambah, pejalan kaki boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Merdeka berhadapan Padang Dataran Labuan.
Supt. Ahmad seterusnya menasihatkan orang ramai di sini agar sentiasa berhati-hati ketika berjalan di laluan yang terdapat punca arus elektrik bagi mengelak kejadian tidak diingini khususnya ketika musim hujan.
Pemeriksaan secara berkala sebelum kejadian ini oleh pihak berwajib tidak menemui keganjilan kah terhadap pendawaian berkenaan ya?..
Tidak pula disebutkan dalam laporan siasatan