LABUAN: Persatuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Wilayah Persekutuan Labuan melahirkan 24 jurulatih dan wasit juri menyusul kejayaan mereka menamatkan Kursus Jurus Baku empat hari berakhir Ahad.
Pegawai Belia dan Sukan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan Labuan (MSWPL) Zulhelmi Amran berkata pihaknya sentiasa menyokong usaha Pesaka Labuan melahirkan lebih ramai atlet silat termasuk jurulatih pelapis pesilat kebangsaan.
“Labuan telah melahirkan ramai jurulatih berkualiti dan kita akan terus menyokong agar Labuan tidak ketandusan atlet pesilat untuk mewakili Labuan di peringkat Wilayah Persekutuan mahupun di peringkat kebangsaan,” katanya.
Hadir sama Yang DiPertua Pesaka Labuan Mohammad Khairul Abd. Ghani, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan Alex Antyhony dan Guru Utama Saidon Talip serta ahli Dewan Pendikar Pesaka Labuan.
Kursus yang dianjurkan bersama Pesaka Labuan, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan Labuan (MSWPL) di Dewan Homestay Kg Sungai Labu itu melibatkan Jurus Regu dan Jurus Tunggal dikendalikan dua ahli Pesaka iaitu Hafiz Abu Hassan dan Hamidah Mulok.
Hafiz merupakan ahli jawatankuasa Kejurulatihan Pesaka (Unit Silat Seni) sementara Hamidah ialah mantan Jurulatih Silat Negara (olahraga).
Zulhelmi menyampaikan sijil kepada para peserta di mana pesilat Mohd Alif Mohd Hakim dinobatkan sebagai peserta terbaik kursus. – Jainudin Djimin