KENINGAU: Peranan wanita semakin meluas dalam menggerak pembangunan negara yang meliputi sektor awam, ekonomi, sosial dan badan bukan kerajaan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata wanita masa kini memainkan peranan dalam sektor ekonomi, pendidikan, kesihatan, perundangan, alam sekitar dan politik.
“Peranan wanita dalam gerakan kemasyarakatan juga tidak kurang hebatnya, semakin ramai wanita muncul sebagai penggerak pelbagai program kebajikan,” katanya.
Dr Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau menegaskan, komitmen wanita amat membanggakan, justeru peranan mereka dalam pelbagai bidang perlu dihargai dan diraikan.
Menurut Dr Jeffrey, sempena Hari Wanita Sedunia setiap 8 Mac, ruang diberikan untuk memberi penghargaan kepada kalangan wanita termasuk di Keningau.
“Sesungguhnya wanita memainkan peranan penting dalam pelbagai tanggungjawab kemasyarakatan,” kata Dr Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.
Dr Jeffrey seterusnya menyifatkan peranan wanita dalam era globalisasi semakin penting, namun semakin terdedah kepada cabaran dan persaingan hebat dalam usaha membangun diri.
‘Wanita perlukan sokongan padu masyarakat,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Cheongsam anjuran Persatuan Wanita Cina Keningau diterajui presidennya Datin Lau Yok Ching di Dewan SJK Yuk Kong pada Jumaat.
Dr Jeffrey meminta golongan lelaki agar sentiasa memberi sokongan kepada wanita untuk berusaha ke arah kebaikan kerana selain mengurus hal ehwal keluarga, wanita juga berhadapan tekanan kerjaya.
Turut hadir Pembantu Menteri Kerjaraya Datuk Robert Tawik, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan Datuk Anuar Datuk Ayub dan Pengerusi Penganjur Wendy Lai.
Pada majlis itu, Dr Jeffrey turut menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Wanita Cina Keningau, manakala hadirin dihiburkan pelbagai persembahan kesenian Cina dan Pertandingan Pakaian Cheongsam Kategori A dan B.