KOTA KINABALU: Sukan Solidariti Karambunai yang berlangsung di Dewan Sarayo Malawa, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), pada Ahad mendapat sambutan menggalakkan menerusi penyertaan secara walk-in.
Program berkenaan membabitkan pertandingan badminton serta perlawanan persahabatan sepak takraw sebagai sebahagian daripada usaha mencungkil bakat dan memilih wakil bagi menyertai Kejohanan Sukan Solidariti Jemputan Parlimen Tuaran sempena sambutan Hari Sabah.
Bagi kategori badminton lelaki, regu Jelius dan Ozrie muncul juara, manakala regu Joy dan Robin menduduki tempat kedua.
Dalam kategori wanita pula, regu Jessy dan Carol dinobatkan sebagai juara, sementara regu Beatsy dan Jovinia muncul naib juara.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Setiausaha Agung STAR, Senator Datuk Edward Linggu, dan turut dihadiri Ketua Bahagian STAR Karambunai, Datuk Stephen Teo.
Pengerusi penganjur, Obil Charlie, berkata sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat menunjukkan minat terhadap aktiviti sukan dan program yang menghimpunkan komuniti.
Beliau berkata program seumpama itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat dan semangat kesukanan, malah menjadi platform memperkukuh hubungan serta perpaduan dalam kalangan masyarakat Karambunai.








