BANGKOK, 22 Jun 2026 – Kedutaan Besar Malaysia di Thailand bersedia memudah cara usaha Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh jaringan kerjasama akademik dengan institusi pendidikan tinggi Thailand, termasuk penerokaan penawaran kursus Bahasa Thai kepada pelajar universiti itu.
Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata, inisiatif tersebut seiring dengan usaha memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat (people-to-people connectivity) dalam kerangka komuniti ASEAN.
Menurut beliau, penguasaan bahasa negara jiran bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pelajar, malah membuka ruang kefahaman budaya, pendidikan dan hubungan profesional yang lebih luas.
“Setiap bahasa mempunyai cabaran tersendiri untuk dipelajari. Namun perkara paling penting ialah kesediaan kita memahami bahasa dan budaya antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi UMS yang diketuai Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Prof. Datuk Dr. Ismail Ali, di Kedutaan Besar Malaysia, Bangkok, hari ini.
Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah UMS, Prof. Dr. Baba Musta.
Wan Zaidi berkata, masyarakat Malaysia dan Thailand perlu terus melihat hubungan kedua-dua negara dalam konteks ASEAN yang berkongsi sejarah, budaya dan kepentingan bersama.
“Ramai mengenali ASEAN, tetapi sebenarnya kita sendiri adalah ASEAN dan perlu berbangga menjadi sebahagian daripada komuniti ini.
“Walaupun wujud cabaran berasaskan kepentingan nasional masing-masing, negara ASEAN perlu mencari jalan untuk hidup bersama, saling melengkapi dan memperkukuh kelebihan yang ada,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata kunjungan tersebut merupakan sebahagian daripada Program Lawatan Sambil Belajar (LASBELA) PPIB UMS ke Thailand bagi memperkukuh jaringan kerjasama universiti di rantau ASEAN.
Katanya, program itu turut melibatkan penerokaan kerjasama akademik bersama institusi terkemuka Thailand termasuk Chulalongkorn University dan Srinakharinwirot University dalam bidang bahasa, budaya, penyelidikan serta mobiliti akademik.
Beliau berkata, selain memperluas penawaran bahasa serantau ASEAN, UMS turut melihat potensi Thailand sebagai rakan strategik dalam usaha menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian ke universiti itu.
“UMS sedang meneroka usaha menawarkan kursus intensif Bahasa Inggeris kepada bakal pelajar dari Thailand sebagai persediaan sebelum mereka melanjutkan pengajian di UMS, khususnya bagi memperkukuh keyakinan dan kemahiran komunikasi akademik mereka.
“Dalam masa yang sama, kita turut melihat kemungkinan mewujudkan offshore (Pusat Luar UMS) di Bangkok sebagai pusat perhubungan bagi memudahkan promosi akademik, jaringan universiti serta urusan kemasukan pelajar antarabangsa,” katanya.
Tambah Ismail, langkah tersebut selaras dengan aspirasi pengantarabangsaan UMS untuk memperkukuh kedudukan universiti sebagai hab pendidikan tinggi yang menghubungkan Malaysia dengan negara-negara ASEAN.
“PPIB UMS komited mendukung agenda pengantarabangsaan universiti melalui pengembangan bahasa-bahasa serantau ASEAN, sekaligus menjadikan UMS sebagai jambatan ilmu dan budaya antara negara,” katanya.
Wan Zaidi turut menyambut baik hasrat UMS meningkatkan kemasukan pelajar antarabangsa dari Thailand khususnya di peringkat pascasiswazah, selain menyatakan kesediaan kedutaan membantu memperluas jaringan pendidikan antara kedua-dua negara.








