KENINGAU: Simposium Pertama Saintifik Pergigian Peringkat Negeri 2026 (SOHSS) bakal menghimpunkan warga profesional pergigian Sabah dalam satu platform ilmiah berfokus kepada pembentangan penyelidikan, kes klinikal dan inovasi perkhidmatan kesihatan mulut.
Pakar Pergigian Restoratif, Klinik Pergigian Keningau, Dr Mohd Khairul Firdaus Bin Mazlan, berkata simposium 6-7 Feb itu akan menjadi medan mengetengahkan hasil kerja klinikal dan penyelidikan untuk dikongsi, dinilai dan dimanfaatkan secara lebih meluas oleh komuniti profesional.
“Bertemakan “From Chairside to Community: Bridging Science and Service”, simposium ini memberi penekanan kepada penghubung antara sains klinikal, perkhidmatan pesakit dan impak kesihatan pergigian di peringkat komuniti,” katanya yang juga Penasihat Program.
Simposium dua hari itu akan berlangsung di Dewan Pusat Kraftangan Sabah di sini, melibatkan siri pembentangan oral saintifik, pembentangan poster, bengkel hands-on, serta siri kuliah kepakaran merangkumi pelbagai disiplin pergigian semasa.
Program itu dianjurkan bersama Pejabat Kesihatan Pergigian Kawasan Keningau, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi Pergigian Sabah (BUTIZA).
“Penganjuran ini bertujuan memperkukuh budaya pembentangan saintifik dan amalan berasaskan bukti dalam kalangan anggota pergigian,” kata Dr Mohd Khairul lagi.
Antara pengisian utama termasuk bengkel endodontik, restoratif estetik, fotografi klinikal pergigian, serta syarahan berkaitan sleep apnea, penuaan aktif, audit klinikal, pembedahan maksilofasial maya dan pergigian digital.
Program itu akan menyasarkan penyertaan Pakar Pergigian, Pegawai Pergigian, Jururawat Pergigian dan Juruteknologi Pergigian dari seluruh Sabah sebagai usaha memperluas kompetensi komunikasi ilmiah dan meningkatkan keyakinan dalam pembentangan profesional.
Majlis perasmian dijadual disempurnakan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr William Gotulis diiringi Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian), Dr Thaddius Herman Maling.






