KARAMBUNAI (Kota Kinabalu): 5 Nov 2025 — Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah menegaskan komitmennya untuk memastikan kawasan DUN Karambunai dipimpin oleh parti tempatan demi mempertahankan hak dan kuasa rakyat Sabah dalam pilihan raya akan datang.
Dalam ucapan pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Karambunai, Setiausaha Agung Star Senator Datuk Edward Linggu berkata, pilihan raya kali ini bukan sekadar penentuan calon atau kerusi, tetapi satu isyarat jelas bahawa rakyat Sabah mahukan pentadbiran negeri dikendalikan parti dan pemimpin tempatan.
“Kita mahu memastikan Karambunai bersama STAR. Biarlah parti dari luar bertanding, tetapi harapan kita adalah Star yang dipimpin Presiden, Datuk Seri Dr. Jeffrey G Kitingan. Jika pemerintahan Sabah jatuh ke tangan parti luar, kita bimbang hak-hak Sabah akan berubah dan digugat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah kini telah berjaya mendapat beberapa bidang kuasa penting termasuk pengurusan elektrik dan sumber laut, sesuatu yang menurutnya perlu dipertahankan melalui kerajaan tempatan yang benar-benar memahami aspirasi rakyat Sabah.
“Kita telah melihat sejarah. Kuasa Sabah pernah diambil dan dipusatkan. Hari ini kita sudah mula mendapatkan kembali beberapa hak kita. Tetapi jika pihak luar memerintah, banyak perkara boleh berubah. Sebab itu kita mesti pertahankan hak Sabah,” ujarnya.
Dalam ucapan tersebut, beliau turut mengajak para penyokong untuk memastikan undi tidak berpecah.
“Pada 29 November nanti, pastikan setiap satu undi berpihak kepada STAR. Jika di Karambunai, kita sokong calon tempatan yang benar-benar memahami masyarakat di sini,” kata Linggu sambil mendapat sokongan kuat daripada hadirin.
Semasa Linggu membuka sokongan calon, para penyokong yang hadir menyatakan persetujuan agar Ketua Bahagian STAR Karambunai, Datuk Kapitan Stephen Teo dimuktamadkan sebagai calon bagi N.16 Karambunai.
“Sokongan anda semua akan dibawa dan dipersembahkan kepada Presiden parti untuk pertimbangan,” katanya.
Majlis pelancaran jentera tersebut turut dihadiri kepimpinan bahagian, akar umbi serta penyokong parti dari seluruh kawasan Karambunai.
Linggu mengakhiri kenyataan itu dengan keyakinan bahawa rakyat Sabah kini lebih sedar dan bersedia untuk memberikan mandat kepada parti-parti tempatan demi masa depan Sabah.











