KOTA KINABALU: Rakaman video yang mengaitkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey G Kitingan sebagai menerima wang RM1.78 juta adalah fitnah semata-mata.
Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Karambunai, Datuk Kapitan Stephen Teo menegaskan dengan penuh yakin bahawa video itu hanyalah perbualan yang dipotong, dimanipulasi dan ditafsirkan secara songsang untuk mencipta persepsi jahat terhadap Presiden Star.
“Selepas meneliti video itu, paparannya langsung tidak menunjukkan sebarang pengakuan atau pengesahan daripada Dr. Jeffrey,” katanya.
Stephen yang juga Penyelaras Star Labuan menyifatkan video itu sebagai satu serangan terancang kerana pilihan raya umum negeri (PRN) Sabah semakin hampir.
Menurutnya, pihak lawan tahu mereka tidak mampu menandingi kekuatan Star dan ketokohon presiden parti, maka fitnah menjadi senjata akhir mereka.
“Tetapi kita tahu, rakyat Sabah tidak mudah terpedaya, Dr Jeffrey adalah pemimpin teruji selama puluhan tahun memperjuangkan hak dan maruah rakyat Sabah,” kata Stephen.
Jelas Stephen lagi, di sisi undang-undang, rakaman video seperti yang ditularkan tidak sahih dan tidak boleh dijadikan bukti tanpa pengesahan forensik.
“Setiap individu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah, dan penyebaran video fitnah itu boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jadi jelas, apa yang berlaku hanyalah propaganda kotor,” katanya.
Seterusnya Stephen meminta seluruh ahli dan penyokong Star agar tidak gentar serta tidak goyah. Katanya, serangan itu hanya membuktikan bahawa perjuangan Star semakin mendekati kemenangan.
“Berdiri teguh kita bersama Presiden Star Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan. Kita akan buktikan bahawa fitnah tidak akan mematahkan semangat Star, sebaliknya fitnah itu akan lebih membakar semangat juang untuk mempertahankan hak Sabah,” jelas Stephen.