KOTA KINABALU, 17 Mac — Tekanan terhadap pelaksanaan hak 40 peratus Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semakin memuncak apabila pemimpin politik negeri ini menyatakan pendirian bersama melalui penandatanganan Memorandum Sokongan (MOS) hari ini.
Majlis yang berlangsung di Sabah Golf & Country Club (SGCC) Bukit Padang itu menghimpunkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Senator Sabah dalam satu isyarat jelas kesepakatan politik merentas kepimpinan negeri.
Sesi menandatanganan MOS diadakan bagi menyokong Sabah Law Society (SLS) dalam tindakan undang-undang berkaitan pelaksanaan hak 40 peratus Sabah mengikut perintah mahkamah tinggi.
Sokongan turut diberikan kepada Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) berhubung isu Pelantar Benua, sekali gus memperluas dimensi perjuangan hak negeri melibatkan sumber semula jadi.
Antara Ahli Parlimen yang hadir, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan (Keningau), Datuk Wilfred Madius Tangau (Tuaran), Datuk Jonathan Yasin (Ranau), Datuk Verdon Bahanda (Kudat), Senator Tan Sri Anifah Aman, Senator Datuk Edward Linggu, Datuk Nelson Anggang, ADUN Datuk Rusdin Riman, dan Datuk Roger Chin.
Sehingga kini, pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus Sabah masih belum dimuktamadkan susulan tindakan rayuan dan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan, sekali gus menjadi tumpuan utama desakan berterusan daripada kepimpinan Sabah dan masyarakat sivil.
Sementara itu, Dr. Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah, menegaskan bahawa sebarang undang-undang Persekutuan tidak terpakai secara automatik di Sabah tanpa penerimaan rasmi oleh kerajaan negeri.
“Tiada undang-undang Parlimen yang boleh diperluaskan ke Sabah melainkan ia diterima secara rasmi oleh negeri. Jika itu keadaannya, mengapa kita perlu bimbang mengenai Akta Pelantar Benua? Jika benar demikian, maka kita sepatutnya menuntut semula sepenuhnya sumber-sumber kita,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan keperluan untuk bimbang terhadap Akta Pelantar Benua, sambil menegaskan bahawa Sabah berhak menuntut semula sumbernya berdasarkan kedudukan perlembagaan.








