Siri 3/10
Oleh Dr. Henry Bating
ORDINAN Anak Negeri Sabah merupakan instrumen perundangan penting yang menginstitusikan kedudukan adat dalam sistem undang-undang negeri. Teras ordinan ini ialah takrifan “anak negeri”, yang lazimnya merujuk kepada individu daripada kumpulan peribumi Sabah yang diiktiraf undang-undang, sama ada melalui keturunan, amalan adat yang berterusan, atau pengiktirafan rasmi oleh pihak berkuasa adat dan pentadbiran negeri (Harding, 2012).
Takrifan ini menjadi asas kepada penentuan identiti perundangan serta penglibatan seseorang dalam sistem Mahkamah Anak Negeri.
Definisi tersebut bukan sekadar bersifat etnografi atau kebudayaan, sebaliknya membawa implikasi undang-undang yang signifikan terhadap bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri, termasuk hak untuk mengakses keadilan adat serta tanggungjawab mematuhi norma dan hukuman adat. Ia juga berperanan membezakan sempadan di antara bidang kuasa adat dan mahkamah sivil, khususnya dalam masyarakat berbilang etnik di Sabah.
Dari segi skop pemakaian, Ordinan Anak Negeri memperuntukkan bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri ke atas perkara-perkara adat seperti perkahwinan adat, perceraian, warisan, tanah adat, kesalahan adat serta penyelesaian pertikaian komuniti.
Skop tersebut mencerminkan usaha mengekalkan adat sebagai mekanisme keadilan komuniti yang bersifat restoratif dan berorientasikan keharmonian sosial, namun beroperasi dalam ruang lingkup yang ditentukan oleh undang-undang bertulis (Hooker, 1972).
Hubungan Ordinan Anak Negeri dengan undang-undang negeri dan Persekutuan pula memperlihatkan ciri sistem perundangan plural di Sabah. Walaupun ordinan ini berada di bawah bidang kuasa negeri, namun pemakaiannya tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang Persekutuan yang terpakai (Harding, 2012).
Akan tetapi, kedudukan Ordinan Anak Negeri menegaskan pengiktirafan terhadap keunikan sosial dan sejarah Sabah. Ordinan itu membuktikan bahawa undang-undang adat bukan sekadar tinggalan masa lalu, sebaliknya komponen hidup dalam pentadbiran keadilan.
Justeru, memahami skop dan struktur Ordinan Anak Negeri, bermakna memahami bagaimana adat dan undang-undang moden terus dirundingkan dalam realiti perundangan Sabah hari ini. – Penulis ialah Pensyarah Kanan PPIB UMS dan Perunding Akademik MHEANS.






