Siri 2/10
Oleh Dr. Henry Bating
ORDINAN Anak Negeri Sabah merupakan hasil evolusi panjang hubungan di antara adat tempatan dan kuasa pentadbiran formal. Latar sejarah penggubalan Ordinan Adat dapat dikesan sejak era Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBUB). Ketika itu, pihak kolonial berhadapan dengan realiti kepelbagaian etnik serta sistem sosial yang berasaskan adat tempatan.
Pentadbiran kolonial menggubal undang-undang adat atas kesedaran bahawa kestabilan sosial di Sabah tidak dapat dipisahkan daripada sistem adat masyarakat peribumi. Sistem itu telah berfungsi sejak sekian lama sebagai mekanisme penyelesaian konflik, kawalan sosial dan pengukuhan hierarki komuniti (Sabihah Osman, 1995). Tanpa pengiktirafan terhadap adat, pentadbiran kolonial berisiko berhadapan penentangan, yang seterusnya mengakibatkan ketidakstabilan sosial.
Dalam konteks itu, pengiktirafan terhadap ketua adat dan mahkamah adat bukan sekadar satu bentuk toleransi budaya. Pengiktirafan itu sebaliknya merupakan strategi pemerintahan secara tidak langsung (indirect rule). Adat dikekalkan sebagai instrumen kawalan sosial, pada waktu yang sama dikanunkan agar undang-undang adat dapat diselia, didokumentasikan dan diselaraskan dengan kepentingan pentadbiran kolonial (Rutter, 1929).
Pendekatan tersebut diteruskan selepas kemerdekaan dan pembentukan Malaysia dengan pengubahsuaian yang signifikan. Sabah seterusnya berusaha menstrukturkan sistem Mahkamah Anak Negeri agar selari dengan kerangka Perlembagaan Negeri dan Persekutuan, tanpa menafikan kedudukan adat sebagai sumber autoriti tempatan (Harding, 2012).
Rasional pengkanunan adat melalui Ordinan Anak Negeri terletak pada keperluan mengharmonikan dua tuntutan utama, iaitu kesinambungan identiti adat dan keperluan kepastian undang-undang. Pengkanunan dijalankan agar adat dapat ditadbir secara konsisten dan dikuatkuasakan, tanpa menafikan sifatnya yang hidup dan kontekstual (Hooker, 1972).
Dalam realiti semasa, Ordinan Anak Negeri bukan sekadar teks perundangan, sebaliknya merupakan medan wacana berterusan tentang autoriti adat, hak Anak Negeri dan kedudukan sistem undang-undang plural di Sabah.
Justeru, memahami evolusi undang-undang adat, bermakna memahami Sabah, sebagai sebuah wilayah yang memiliki karakteristik tersendiri. Sabah memiliki identiti sosial dan perundangan yang terbina di atas rundingan berterusan, di antara adat dan undang-undang moden. – Penulis adalah Pensyarah Kanan PPIB UMS dan Perunding Akademik MHEANS.






