KOTA KINABALU: Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Malaysia Sabah (UMS), terus memperluas rangkaian akademiknya di peringkat serantau melalui lawatan rasmi ke Ho Chi Minh City, Vietnam, 11 – 15 Nov lalu.
Dekan PPIB, Prof. Datuk Dr. Ismail Ali, berkata lawatan itu adalah sejajar dengan komitmen berterusan PPIB terhadap agenda pengantarabangsaan dan pengukuhan hubungan antara budaya, selaras dengan aspirasi UMS memperkukuh kerjasama pendidikan di rantau ini.
“Lawatan ini memberi ruang kepada PPIB dan rakan institusi di Vietnam untuk bertukar pandangan, meneroka peluang kolaboratif, serta memahami dengan lebih mendalam perkembangan pendidikan tinggi di kedua-dua negara,” katanya.
Antara pengisian utama lawatan ialah kunjungan ke Ho Chi Minh City University of Technology and Education (HCMUTE) yang menyaksikan perbincangan bermakna mengenai potensi kerjasama, khususnya dalam bidang pengajaran bahasa.
Delegasi turut mengadakan lawatan akademik ke Ho Chi Minh City Open University, yang menumpukan kepada perkongsian amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran dalam talian.
Pertemuan tersebut menghasilkan satu pencapaian penting dengan pemeteraian Surat Hasrat (LoI) antara UMS dan Ho Chi Minh City Open University pada 14 Nov.
”Langkah ini membuka laluan kepada pelaksanaan inisiatif bersama dalam pengajaran, penyelidikan dan libatsama komuniti pada masa hadapan,” katanya.
Delegasi PPIB turut mengadakan kunjungan hormat ke Konsulat Malaysia di Ho Chi Minh City.
Sesi tersebut memberikan pandangan strategik mengenai diplomasi akademik dan peluang kerjasama yang dapat menyokong hubungan dua hala Malaysia–Vietnam, selain menggariskan peranan institusi Malaysia dalam landskap pendidikan tinggi Vietnam yang semakin berkembang.
Prof. Datuk Dr. Ismail berkata, lawatan berkenaan berjaya mengukuhkan rangkaian akademik PPIB di rantau ini, selain mengenal pasti peluang baharu untuk kerjasama penyelidikan, mobiliti pelajar dan pensyarah, serta projek pendidikan bersama.
“Hasil lawatan ini bakal memberi nilai tambah yang signifikan kepada usaha pengantarabangsaan PPIB dan membuka ruang kepada kerjasama lebih kukuh antara UMS dan institusi pendidikan tinggi di Vietnam,” katanya.







