KOTA KINABALU: Ketua Bahagian STAR Karambunai, Datuk Kapitan Stephen Teo, menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan, yang menegaskan bahawa parti itu akan memainkan peranan sebagai pembangkang bertanggungjawab terhadap kerajaan GRS.
Stephen yang juga calon STAR Karambunai pada pilihan raya lalu, berkata pendirian tersebut adalah selaras dengan keinginan rakyat yang mahukan aspirasi mereka terus disuarakan secara berprinsip, matang dan berani, sekaligus memastikan kepentingan rakyat Sabah tidak terpinggir dalam proses pembuatan dasar.
“Saya menghargai setiap sokongan yang diberikan rakyat kepada parti khususnya pengundi Karambunai, kepercayaan mereka menunjukkan bahawa rakyat mahukan perjuangan yang berterusan untuk kesejahteraan hidup yang inklusif dan seimbang,” katanya.
Beliau berkata STAR sebagai pembangkang bertanggungjawab akan mengutamakan semak dan imbang yang konstruktif bagi memastikan tadbir urus kerajaan lebih telus, berkesan dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Di peringkat kawasan Karambunai, Stephen menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan pembangunan Karambunai yang merangkumi kawasan berbukit, zon perindustrian, perumahan, pesisir pantai serta pulau, demi memastikan semua komuniti mendapat perhatian sewajarnya.
Menurutnya, sokongan yang diterimanya menjadi pendorong untuk memperkukuhkan usaha pembangunan yang lebih inklusif, termasuk menyuarakan peluang ekonomi serta meningkatkan kemudahan asas masyarakat setempat.
Dalam pertandingan 11 penjuru yang menyaksikan kemenangan Datuk Dr. Aliakbar Gulasan dari Perikatan Nasional (PN) di Karambunai Sabtu lalu, Stephen memperoleh 2,010 undi.
Beliau menyifatkan jumlah itu sebagai isyarat jelas bahawa sebahagian besar rakyat masih menaruh harapan terhadap perjuangan STAR untuk membawa suara mereka ke hadapan, meskipun parti itu kini mengambil peranan baharu sebagai pembangkang bertanggungjawab.







