PENAMPANG: Tagal Timpangoh Babagon Jalan Tambunan dalam kawasan Moyog di sini berpotensi dimajukan sebagai pusat pelancongan berasaskan alam sekitar dan penghasil produk desa.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata kesesuaian tempat itu sebagai eko pelancongan didukung pelbagai produk desa melibatkan hasil pertanian, perikanan sungai dan kraftangan.
“Potensi Timpangoh dapat diperkembangkan lagi untuk menjana ekonomi penduduk kampung,” katanya ketika merasmikan Tamu Piombolutan Tagal Timpangoh Babagon.
Dr Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yakin pengunjung ke tempat itu dapat menikmati keindahan alam mendaki bukit, menanam pokok, memerhati ikan-ikan sungai, merasai hidangan tradisi, membeli barangan kraf dan pakaian tradisi.
Dr Jeffrey seterusnya meminta penduduk kampung bertani untuk mempelbagaikan produk desa bagi menampung permintaan pengunjung terdiri daripada pelancong dalam dan luar negara.
“Timpangoh Babagon memerlukan nama (brand) untuk menjadi pengenalan kepada tarikan eko pelancongan di tempat ini,” katanya.
Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Moyog Joe Suleiman menjelaskan Tamu Piombolutan di Kampung Timpangoh Babagon menyediakan ruang kepada para petani desa menjual hasil tanaman mereka.
Menurutnya nama ‘piombolutan’ sudah terkenal di media sosial dan diterima masyarakat umum di tempat itu.
Kata Joe, di samping menjaja dagangan, para penjual dapat ‘mogiambalut’ (bergaul mesra) dan berinteraksi dengan para pengunjung untuk mengembangkan idea-idea baru.
Program yang dipengerusikan Joe itu dijayakan bersama tiga badan kampung berkenaan melibatkan JKKK, SKOD Babagon (kumpulan projek hidroponik kemas) dan Jawatankuasa Tagal Timpangoh.