KOTA KINABALU: Autonomi Pendidikan dan Kesihatan bagi Sabah dan Sarawak dapat memperluas penyediaan utiliti dua sektor itu di banyak kawasan terpencil yang sehingga kini belum terjangkau kemudahan tenaga, air dan telekomunikasi.
Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Edward Linggu berkata, kekalutan penyedia bekalan tenaga, air dan telekomuniasi di Sabah dapat diatasi melalui autonomi yang sudah pasti memiliki peruntukan mencukupi.
“Kita yakin proses perkhidmatan pendidikan dan layanan kesihatan awam di tempat-tempat terpencil dapat dijalankan tanpa kendala dengan adanya autonomi kuasa pendidikan dan kesihatan,” katanya.
Linggu yang juga Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) berkata demikian selepas menghadiri kursus ahli-ahli lembaga pengarah badan berkaitan Kerajaan Negeri Sabah di sini.
Menurut Linggu, pelaksanaan autonomi pendidikan dan kesihatan yang termaktub dalam Perjanjian 1963 (MA63) perlu dilaksanakan tanpa bertangguh kerana Kerajaan Perpaduan sekarang serius menunaikan perjanjian itu.
Dalam konvensyen perpaduan di Kuala Lumpur, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh autonomi dua sektor itu manakala Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengulanginya dalam lawatan ke Sabah dua hari lalu.
Linggu menambah, autonomi pendidikan dan kesihatan dapat memberikan wilayah Borneo kuasa memetakan keperluan pendidikan dan kesihatan melibatkan kawasan geografi yang luas dengan kemudahan yang masih daif.
“Kemudahan pendidikan dan kesihatan di kawasan terpencil boleh diperbaiki melalui penggunaan tenaga alternatif solar untuk menggerak perkhidmatan pendidikan dan kesihatan yang lebih profesional,” katanya.