LAHAD DATU: Persatuan Etnik Begak Tungku Sabah merangka langkah ke hadapan mengangkat kehidupan kira-kira 15,000 etnik asal itu di sini bagi mempromosi kekayaan tradisi sebagai produk pelancongan komersil.
Presiden Begak Tungku, Suling Isib berkata promosi kekayaan warisan etnik diangkat ke pentas global melalui penglibatan etnik itu dalam bidang perniagaan dan pelancongan.
“Melalui penglibatan etnik Begak dalam bidang promosi keunikan tradisi secara komersil, kita berharap persatuan dapat membantu ahli-ahli dalam aspek kebajikan, ekonomi, pendidikan dan pelestarian adat resam,” katanya.
Suling berkata demikian selepas dipilih sebagai presiden persatuan itu dalam mesyuarat agung baru-baru ini.
Suling yang sebelum ini Timbalan Presiden dipilih sebulat suara menggalas tanggungjawab sebagai presiden baru menggantikan presiden pengasas persatuan, mendiang Bulungan Penasi.
Persatuan Begak Tungku mula bergerak aktif mempromosi identiti etnik itu sejak 1979 sehingga diformulasikan sebagai badan bukan kerajaan (NGO) pada 2016 dan menerima sijil pendaftaran rasmi 2018.
Sebagai badan kesenian dan kebudayaan, persatuan itu telah dijemput menampilkan persembahan di Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di Hongkod Koisaan, Penampang, Perbarisan Ulang Tahun TYT Yang Dipertua Negeri Sabah, Pesta Tambur dan banyak lagi.
Kalangan etnik Begak Tungku masih memegang kuat pelbagai elemen kesenian dan kebudayaan tradisi meskipun menganut pelbagai kepercayaan seperti pagan, Kristian dan Islam.