LABUAN: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) serta Dewan Perniagaan dan Industri Kadazandusun (KCCI) di sini melahirkan sokongan ke atas pelantikan Senator Datuk Seri Anifah Aman sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Labuan.
Pengerusi KDCA Jerome Mijin dan Pengerusi KCCI Paul Ipoh Leokin menyifatkan pelantikan Anifah yang juga Penasihat Perhubungan Antarabangsa Ketua Menteri Sabah mampu menjaga hal ehwal Labuan.
“Walaupun Anifah bukan anak jati Labuan namun kami percaya beliau mampu membawa perubahan kepada Labuan dan memberikan yang terbaik untuk penduduk Labuan sama seperti senator sebelum ini,” kata mereka.
Jerome dan Ipoh menegaskan, pelantikan Anifah menunjukkan Kerajaan Perpaduan mahu memastikan Labuan terus diwakili di peringkat pengambilan keputusan negara.
Jerome dan Ipoh yakin Anifah dapat membantu membangun Labuan dan meningkatkan taraf ekonomi, sosial dan kebudayaan masyarakat Labuan.
“Kami juga yakin Anifah mampu membawa pelaburan asing ke Labuan untuk meningkatkan ekonomi dan seterusnya membuka peluang pekerjaan yang lebih besar kepada penduduk Labuan,” kata mereka. – JAINUDIN DJIMIN