PENAMPANG: Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Datuk Seri Dr Clarence Bongkos Malakun menjadi tokoh masyarakat pertama memegang Kursi Kadazan Dusun Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Malakun yang juga Konsul Kehormat Romania di Sabah mengesahkan telah menerima hantaran pelantikan tersebut dari pegawai utama UMS untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Sept tahun ini.
“Saya akan memulakan tugas dengan mendengar taklimat tentang fungsi kursi tersebut khususnya dalam melaksanakan kajian dan penerbitan berkaitan masyarakat Anak Negeri Sabah,” katanya.
Turut dinyatakan dalam kandungan surat pelantikan ialah Malakun diberi gelaran ‘Profesor’ sepanjang tempoh bertugas sebagai pemegang Kursi Kadazan Dusun UMS.
Kursi tersebut diperkenalkan tahun 1999 ketika Tan Sri Bernard Giluk Dompok menjadi Ketua Menteri Sabah dengan suntikan dana penyelidikan RM2 juta dari Kerajaan Negeri.
Kemudian kursi tersebut dipegang oleh ahli akademik Prof. Dr. Jaqueline P. Kitingan dan disusuli Prof. Madya Dr. Andreas Totu.
Malakun dari Kg Limbanak merupakan graduan dari United Kingdom yang pernah berkhidmat dengan syarikat multinasional, pegawai daerah dan setiausaha tetap kementerian sebelum menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Sebagai ahli politik bermula 1985, Malakun pernah dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Sabah dan pengerusi eksekutif Sabah Forest Industries (SFI).
Setelah meninggalkan kerjaya politik 20 tahun lalu, Malakun pernah dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).
Dalam menumpukan perniagaan sekarang, Malakun terus diberi kepercayaan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor untuk menganggotai Majlis Penasihat Ekonomi Sabah dan Ahli Lembaga Pengarah University College Sabah Foundation (UCSF).