KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan Malaysia diminta menjaga kebajikan veteran Sabah Border Scout (SBS) sebagai sebahagian dari veteran tentera di Sabah atas jasa mereka mempertahankan negara semasa konfrontasi Indonesia.
Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata ramai veteran SBS di pedalaman Sabah tidak mempunyai rumah, malahan menempati tanah-tanah kerajaan disebabkan tidak mendapat pembelaan.
“Veteran SBS harus diberi penghargaan dan kebajikan mereka harus dijaga termasuk keluarga,” katanya.
Dr Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan peruntukan Kementerian Pertahanan di Parlimen pada Isnin.
Dalam perbahasan itu, Dr Jeffrey bertanya “berapakah dari RM772.5 juta peruntukan Perumahan Angkatan Tentera diperuntukkan untuk Perumahan Angkatan Tentera dan Veteran di Sabah?”
Selanjutnya Dr Jeffrey minta penjelasan berapakah yang diperuntukkan kepada Hal-Ehwal Veteran di Sabah dari keseluruhan RM118,445,100 peruntukan Pengurusan Jabatan Hal-Ehwal Veteran kementerian itu?
Menurut Dr Jeffrey, pihaknya ada menerima aduan tentang isu perumahan dan tanggungan kalangan veteran di Sabah termasuk pesara SBS yang telah berkhidmat semasa Konfrontasi Indonesia.
Mengikut sejarah, SBS ditubuhkan British sebagai pasukan keselamatan di sempadan Sabah semasa era Konfrontasi Indonesia-Malaysia 1962-66.
SBS merupakan pasukan tentera tempatan yang digabungkan dengan pasukan tentera British dan pasukan Gurkha untuk mempertahankan Sabah, Malaysia dari serangan tentera Indonesia.
Penubuhan SBS yang menyerupai Borneo British Scout (BBS) amat signifikan dalam suasana kritikal negara semasa ancaman konfrontasi khususnya di sempadan Sabah-Kaltim (Kalimantan Timur, Indonesia).
Pada awal penubuhannya, SBS sebagai pasukan paramiliter Malaysia dipusatkan di Keningau dan dianggotai sebahagian besarnya oleh orang-orang kampung dari suku kaum Murut.