LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan penyelewengan 44,000 liter minyak dipercayai diesel di sebuah stor tidak bernombor di sini pada Isnin dalam operasi Ops Tiris.
Pengarah Pejabat KPDN Labuan Junaidah Binti Arbain berkata, pemilik stor gagal mengemukakan sebarang dokumen sah untuk menyimpan barang kawalan itu di lokasi berkenaan.
“Serbuan 12.00 tengah hari itu menjumpai dan menyita kira-kira 44,000 liter minyak dipercayai diesel dalam dua kenderaan bertangki yang diubahsuai, dua kontena berisi minyak beserta peralatan yang keseluruhannya bernilai RM94,600,” katanya.
Junaidah menjelaskan, seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun yang dipercayai pemilik lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan untuk membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurut Junaidah, pihaknya telah melakukan risikan sebelum menjalankan serbuan.
Katanya, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga tanpa lesen.
“Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana mengalihkan barang kawalan dari tempat yang dilesenkan,” katanya.
Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), pesalah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
“Kami akan terus memeriksa dan memantau semua kegiatan berkaitan barang kawalan agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan,” katanya.
Junaidah seterusnya meminta orang ramai melaporkan kepada KPDN jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan.