KOTA KINABALU, 14 Mei – Program Projek Pemindahan Ilmu Pemasaran Produk Berasaskan Bawing dalam kalangan Persatuan Usahawan Wanita Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Kota Belud berjaya dilaksanakan di IBIS Styles, Inanam, Kota Kinabalu baru-baru ini.
Program anjuran Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu diketuai oleh Prof. Madya Dr. Halina Sendera Mohd. Yakin selaku ketua projek merangkap ketua kumpulan penyelidikan UMS berkaitan pembudayaan pertanian komersial. Program tersebut turut dijayakan dengan kerjasama Persatuan Usahawan Wanita IKS Kota Belud Sabah yang dipimpin oleh Puan Natalia Hassan selaku pengerusi persatuan.
Program berkenaan melibatkan penyertaan kira-kira 13 orang komuniti, khususnya dalam kalangan ahli Persatuan Usahawan Wanita IKS Kota Belud. Antara fasilitator dan penceramah daripada UMS yang terlibat ialah Prof. Madya Dr. Halina Sendera Mohd. Yakin, Dr. Rudy Ansar, Dr. Noorafini Kassim, Dr. Patricia Sator, Prof. Madya Ts. Dr. Januarius Gobilik dan Dr. Anna Lynn Abu Bakar.
Selain itu, program tersebut turut mendapat sokongan padu daripada warga UMS termasuk Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, Dekan PPIB, Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) dan Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS.
Program ini bertujuan membudayakan pertanian komersial dalam kalangan komuniti luar bandar menerusi perkongsian ilmu pemasaran produk berasaskan herba tempatan “bawing”, sekali gus menyokong usaha pembangunan negara. Di samping itu, program berkenaan turut menyokong pekebun, inovator dan pengilang tempatan dalam mempromosikan herba bawing yang mempunyai pelbagai manfaat dari sudut gastronomi, kecantikan, kesihatan, kelestarian alam sekitar, kesejahteraan dan kerohanian.
Menurut penganjur, program pemindahan ilmu pemasaran tersebut dilaksanakan secara berperingkat bermula Mac 2026 dan berakhir pada 14 Mei 2026. Program itu merupakan kesinambungan daripada projek terdahulu berkaitan penanaman bawing yang telah dilaksanakan sekitar tahun 2023.
Projek berkenaan merupakan hasil gabungan tiga geran berkaitan dan saling berkesinambungan, melibatkan dua dana dalaman universiti iaitu Dana Strategik dan Dana Living Lab, serta dana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Geran Padanan Industri. Antara matlamat utama projek tersebut adalah untuk memupuk budaya pertanian komersial dalam kalangan komuniti di samping mempromosikan herba tempatan, iaitu bawing.
Program itu juga menjadi platform kepada penyelidik untuk mengembangkan projek inovatif selain memperkukuhkan hubungan antara UMS dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, industri dan komuniti tempatan. Pelaksanaan projek tersebut disifatkan sebagai perintis kepada penyelidikan lanjutan serta platform memperkasakan aspek pengkomersilan universiti.
Pengerusi Persatuan Usahawan Wanita IKS Kota Belud, Puan Natalia Hassan berkata, program tersebut membantu usahawan wanita di daerah itu memanfaatkan peluang perniagaan yang semakin terbuka, sekali gus memacu ekonomi perindustrian setempat dan memartabatkan semula sektor pertanian negara.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Halina Sendera Mohd. Yakin berkata, program berkenaan berjaya meningkatkan proses transformasi sosial dari aspek pengetahuan, sikap, kemahiran dan aspirasi (PSKA) dalam kalangan komuniti berkaitan ilmu pemasaran dan manfaat herba bawing.
Beliau berkata, herba bawing sememangnya sinonim dalam masyarakat Sabah, khususnya sebagai penambah aroma dan rasa dalam makanan tradisional, namun masih ramai yang belum mengetahui potensi serta peluang pengkomersilan produk berasaskan herba tersebut.
“Usaha penyelidik dan universiti dalam berkongsi ilmu dengan komuniti amat penting dan perlu diteruskan bagi memperkasa penggunaan produk tempatan serta membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut berharap program sedemikian dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap tanaman bawing, memandangkan herba tersebut berpotensi memberikan pulangan ekonomi positif kepada pengusaha tani dan negara.
Dengan slogan “Say NO to membawang, YES to membawing”, beliau menggalakkan masyarakat mempelbagaikan hasil tanaman dan memperkukuhkan penggunaan produk tempatan kerana yakin herba bawing mampu diketengahkan ke peringkat global sekiranya mendapat sokongan berterusan daripada penyelidik, komuniti dan pemegang taruh berkaitan.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan selaras dengan usaha memperkukuh agenda Sabah Maju Jaya khususnya dalam sektor pertanian, pelancongan dan perindustrian, selain mendukung aspirasi UMS sebagai peneraju ke arah masyarakat inovatif dan “The Brain of Borneo”.






