SANDAKAN, 24 April: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggerakkan misi kemanusiaan membantu mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai institusi yang dekat dengan masyarakat.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Hj Mansur berkata, tragedi yang menimpa penduduk kampung berkenaan bukan sahaja mengakibatkan kehilangan tempat tinggal dan harta benda, malah memberi kesan besar terhadap kehidupan harian keluarga terlibat.
“Kehadiran kita bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi membawa mesej kasih sayang, keprihatinan dan solidariti kepada mangsa,” katanya ketika melawat mangsa kebakaran di Pusat Penempatan Sementara Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, Sandakan.
Turut serta dalam misi itu ialah Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), UMS Prof Datuk Dr Ismail Ali dan Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia UMS, Sirahim Abdullah.
Menurut beliau, misi berkenaan mencerminkan komitmen UMS selaras dengan aspirasi “UMS the Brain of Borneo”, yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, malah tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
“Semangat ini mendorong seluruh warga universiti untuk tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, khususnya ketika berdepan musibah,” katanya.
Sumbangan yang dikumpulkan melibatkan penyertaan pelbagai jabatan, fakulti, pusat dan institusi di UMS, merangkumi bantuan makanan kering, barangan keperluan, alat tulis serta sumbangan kewangan.
Selain itu, UMS turut menyumbangkan alat tulis kepada Sekolah Kebangsaan Gas, Sandakan sebagai sokongan terhadap keperluan pendidikan murid yang terjejas.
Prof Kasim berkata, usaha berkenaan membuktikan kekuatan warga UMS sebagai komuniti yang bersatu hati dan sentiasa cakna terhadap kebajikan masyarakat.
“Setiap sumbangan, walau sekecil mana, amat besar maknanya kepada mereka yang sedang melalui saat sukar ini,” katanya.
Beliau berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban mangsa serta memberi semangat untuk mereka meneruskan kehidupan.









