KUALA LUMPUR: Senator Datuk Edward Linggu menegaskan bahawa hak Sabah bukan bahan tawar-menawar politik, sebaliknya komitmen Perlembagaan Persekutuan yang wajib dihormati.
Linggu yang juga Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah menggariskan beberapa tuntutan utama yang menurutnya perlu diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan dalam ucapan perbahasan di Dewan Negara pada Rabu.
”Persekutuan harus memberikan komitmen demi mengembalikan keseimbangan pembangunan di antara wilayah dan memelihara semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Negara, semalam.
Linggu menegaskan, antara isu yang ditekankan ialah pemulihan pemberian 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah sebagaimana termaktub dalam peraturan kewangan sedia ada.
Katanya, Persekutuan juga harus mengembalikan semula perwakilan 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak seperti yang digariskan dalam struktur asal pembentukan Malaysia.
Menurut Linggu, Persekutuan juga perlu memperkasakan sektor pertanian termasuk penetapan harga lantai getah dan usaha meningkatkan keterjaminan makanan negeri.
”Komitmen Persekutuan termasuk juga pelaksanaan Borneonisasi perkhidmatan awam secara tuntas, bukan sekadar slogan tanpa tindakan, dan menyiasat dengan telus dan terbuka kes-kes rasuah berprofil tinggi yang berada dalam pemerhatian rakyat,” katanya.
Menurut Linggu, kemakmuran Malaysia hanya dapat dicapai apabila hak setiap wilayah dipatuhi dan setiap janji ditunaikan dengan tindakan nyata.
“Perjuangan ini bukan untuk saya. Ini adalah amanah rakyat Sabah,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa suara Sabah akan terus dibawa ke peringkat nasional demi memastikan hak Sabah dipertahankan dan pembangunan yang seimbang dapat direalisasikan.






