KUALA PENYU: Calon Parti Star Sabah bagi N.33 Kuala Penyu, Walther Philip M. Pangang, menolak keras tuduhan bahawa slogan “Sabah For Sabahan” (S4S) kononnya menjadi “kalimah untuk menghalalkan perompakan”.
Walther menyifatkan dakwaan Mohd Faisal menerusi akaun Facebook sebagai cetek sejarah dan bercanggah dengan fakta asas pembentukan Malaysia.
“Sabah For Sabahan bukan penolakan terhadap Persekutuan, tetapi seruan yang berpijak kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) — kontrak sah yang menjamin autonomi dan kedudukan khas Sabah,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa Sabah menyertai Malaysia sebagai entiti berdaulat, bukan sebagai negeri biasa, dan menuduh pihak yang melabel slogan itu sebagai ‘rompakan’ sebenarnya sedang menafikan asas kelahiran Malaysia sendiri.
Walther menambah, menuduh rakyat Sabah tidak setia hanya mengalihkan perhatian daripada kegagalan pusat menunaikan janji pembangunan serta pemulangan hasil negeri.
“Kesetiaan Sabah tidak pernah luntur. Yang luntur ialah pelaksanaan semangat persekutuan yang adil,” katanya.
Menurutnya, Sabah For Sabahan ialah suara rakyat yang menuntut pemulihan hak—bukan gerakan menentang negara—termasuk pengembalian hasil minyak, gas, perikanan dan tanah seperti yang dijamin MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
Menjawab slogan “Sabahan For Malaysia”, Walther berkata Malaysia hanya akan kukuh apabila hak Sabah dihormati sepenuhnya.
“Sabah tidak menolak Malaysia, tetapi menolak ketidakadilan yang berselindung di sebalik nama Malaysia. Jika benar Malaysia untuk semua, maka pastikan Malaysia itu juga adil kepada Sabahan.”
Walther turut menyindir segelintir pihak yang memperlekehkan perjuangan ini:
“Selalunya mereka yang mengecam Sabah For Sabahan tidak pernah membaca MA63, tetapi bercakap seolah-olah mereka duduk di meja rundingan 1963.”
Beliau menegaskan, slogan itu adalah tuntutan pembetulan sejarah dan akan terus dilaungkan selagi hak Sabah belum dipulihkan.
“Jangan perbodohkan rakyat dengan nasionalisme buta. Kami bukan menolak Malaysia — kami menolak penindasan,” tegasnya.






