TELIPOK: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan Inovasi Modul 5M Bahasa Etnik untuk memperluas penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan generasi masyarakat tutur keluarga bahasa Dusunik, Murutik dan Paitanik.
Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Prof. Datuk Dr. Ismail Ali berkata inovasi modul yang dilaksanakan di bawah Program Pemindahan Ilmu itu bertujuan menyokong kelestarian bahasa ibunda yang menjadi khazanah kearifan tempatan di Sabah.
”Program ini menetapkan dua sasaran utama, generasi bawah 15 tahun dan kumpulan fasilitator,” katanya ketika melancarkan program itu di Kg Lapasan, Telipok, 5 Oktober.
Ucapan beliau disampaikan Dr Daron Benjamin Loo, Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Khidmat Komuniti.
Dr. Ismail menegaskan, sasaran pertama mahu melahirkan generasi bawah 15 tahun yang berpengetahuan tentang kesenian memalu gong dan menyanyi lagu klasik, di samping berkemahiran berbahasa etnik mendengar dan bertutur, membaca dan menulis.
Menurut Dr. Ismail, elemen-elemen 5M bukan sekadar pengetahuan dan kemahiran, tetapi merupakan simbol identiti, kreativiti, serta keterikatan generasi kepada warisan budaya.
Manakala sasaran kedua ialah melahirkan kumpulan fasilitator dalam kalangan guru-guru terlatih bahasa etnik yang berperanan sebagai tenaga penggerak dalam mengendalikan Inovasi 5M berkonsepkan ’Tutorial dalam Komuniti’.
”Dengan adanya fasilitator yang terlatih, kesinambungan ilmu dan budaya dapat dipindahkan secara sistematik dan berkesan kepada generasi muda,” katanya.
Pelaksanaan program itu direka bentuk dan dirintis oleh Pengerusi Bahasa Kadazandusun UMS, Dr. Henry Bating yang dianggotai Florina Jumil, Brenda Olivera Well Joemakker, serta Vurisia Fidelia Dadong.
Inovasi itu merupakan gabungan modul seni muzik dan bahasa berasaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) di mana bahan pembelajaran serta aras kesukarannya boleh disesuaikan dengan Taksonomi Bloom bergantung kemahiran para peserta.
Menerusi program pemindahan ilmu itu, tutorial dalam komuniti dilaksanakan bersiri yang merangkumi tiga tahap sebelum diperluaskan kepada pelbagai etnik mengikut dialek bahasa ibunda masing-masing.
Seramai 39 murid pelbagai sekolah dari Kg Lapasan menyertai siri pertama program dialek Bundu, Liwan dan Tangaa’ itu yang berlangsung tiga jam dengan aktiviti tambahan persembahan terbaik memalu gong, menyanyi dan berbahasa.
Mantan Ketua Kampung Ponsius Solipat yang menyambut baik program itu yakin para peserta memperoleh kemahiran seni dan berbahasa yang berkesan untuk mendukung kelestarian seni tradisi dalam pelbagai festival yang menjadi antara produk penting pelancongan negara.
Jawatankuasa penganjur program di kampung itu dipengerusikan Domiun Sibir dan dibantu oleh Freddy Lojikim.
Siri pertama berjaya melahirkan dua kumpulan pemalu gong kanak-kanak, beberapa pelajar mahir menyanyi lagu tradisi serta penguasaan kemahiran asas berbahasa.
Hadir mengagih-agihkan bungkusan makanan dan hadiah ialah Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Datuk Kapitan Stephen Teo dan Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) Labuan, Walther Philip Michael.






