KOTA KINABALU: 26 Sept – Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah menyeru semua bahagian serta para penyokong parti untuk memperkemas persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang tempohnya akan berakhir 11 Nov..
Setiausaha Agung Star Sabah, Senator Datuk Edward Linggu berkata, kesiapsiagaan jentera di semua peringkat adalah penting bagi memperkukuhkan perjuangan Presiden Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan, dalam menuntut hak-hak Sabah dalam Malaysia.
“Matlamat perjuangan parti adalah jelas, iaitu melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), memastikan agihan 40 peratus hasil kutipan Persekutuan dari Sabah, melaksanakan dasar Borneonisasi serta menuntut kesaksamaan perwakilan kerusi Parlimen dari Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perjuangan Star bukan sekadar agenda politik parti, sebaliknya merupakan amanah rakyat Sabah yang perlu diperjuangkan secara konsisten.
Ketika selesai memberikan kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung video tular mengaitkannya dengan skandal perlombongan Sabah, Dr Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menyatakan, beliau telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Sekarang masanya memberikan tumpuan kepada rakyat dan pilihan raya,” kata Dr Jeffrey dipetik sebagai berkata.
Justeru, Linggu meminta pendukung parti di pelbagai peringkat agar bertenang, dan meningkatkan perpaduan serta kerjasama untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden Star untuk menghadapi PRN.
Linggu menambah, Star Sabah akan terus memastikan suara rakyat Sabah dibawa ke peringkat lebih tinggi melalui perjuangan berasaskan fakta sejarah dan hak perundangan.
“Kita mahu semua jentera bersedia sebaik mungkin menghadapi PRN akan datang,” katanya.