TELIPOK: 21 Jun 2025 – Kaamatan Dusun Lotud Suang Mongkobung dilaksanakan buat julung kalinya tahun ini di tebing Sungai Telipok atau dikenali Sungai Mongkobung.
Ketua Kampung Suang Mongkobung KK Lonni Salati ketika ditemu ramah menzahirkan ucapan syukur kerana berjaya melaksanakan program ini setelah beberapa tahun merancang.
“Sambutan julung kali ini menyajikan beberapa acara menarik seperti Pertandingan Melastik, Boling Kelapa dan Magagung,” katanya.
Sementara Pengerusi JKKK, Robert Salati menjelaskan tujuan perlaksanaan sambutan kaamatan ini selain meraikan tradisi musim menuai, majlis julung kalinya ini memperkenalkan kepada orang ramai sub-etnik kepada Dusun Lotud yang hampir dilupakan.
Beliau dan barisan kepimpinan yang lain berharap majlis ini dapat membuka minda generasi baru untuk memelihara dan memulihara Dusun Lotud Suang Mongkobung.
Majlis berlangsung dengan jayanya di bawah cuaca yang redup dan renyai-renyai. Keindahan flora bakau sepanjang sungai menyerikan majlis penuh makna ini khususnya kepada penduduk asal Suang Mongkobung.
Turut hadir beberapa tetamu penting PRIBUMI dan dermawan yang membantu melicinkan perjalanan sambutan ini.
Paluan gong Dusun Lotud dan Gong Penampang menyerikan dan menceriakan majlis sehingga jawatankuasa pelaksana terpanggil mempersembahkan tarian Sumazau.
Ketua Kampung memberi jaminan bahawa sambutan ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang. Senyuman manis dan wajah-wajah ceria memeriahkan sambutan sehingga di penghujungnya. – By DJVince Momogun RTv
