LABUAN: Masyarakat Anak Negeri Sabah yang bermestautin di Wilayah Persekutuan Labuan memerlukan kehadiran penjawat Mahkamah Anak Negeri secara ‘Native Mobile Court’ untuk mengendalikan pelbagai pengesahan berkaitan adat-istiadat.
Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah Senator Datuk Edward Linggu berkata, maklum balas yang diterima daripada masyarakat Anak Negeri Sabah di sini menunjukkan penjawat adat bagi Anak Negeri Sabah belum dilantik.
“Seperkara lagi, Mahkamah Anak Negeri yang ada di Labuan terletak di bawah jabatan yang berpusat di Putrajaya dan tidak tertakluk kepada Ordinan Mahkamah Anak Negeri Sabah,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
Tegas Linggu, Kerajaan Sabah perlu melihat keperluan untuk melantik masyarakat Anak Negeri Sabah di Labuan menjadi penjawat Mahkamah Anak Negeri Sabah.
Linggu berkata demikian dalam pertemuan dengan masyarakat Anak Negeri Sabah di sini selepas meninjau aset LIGS dan mengadakan kunjungan muhibah kepada Perbadanan Labuan serta LDA Holdings.
Ahli Lembaga Pengarah LIGS Datuk Kapitan Stephen Teo yang juga Penyelaras Star Labuan turut serta dalam tinjauan bekas bangunan pejabat dan kuarters pegawai LIGS berhampiran Ujana Kewangan.
Dalam kunjungan muhibah kepada Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif LDA Holdings, Noor Halim Datuk Haji Zaini, Linggu diberi taklimat tentang perlunya Kerajaan Sabah terlibat sama dalam pembangunan infrastruktur menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah.
Berkaitan ‘Native Mobile Court’ Mahkamah Anak Negeri Sabah ke Labuan, Linggu melihat keperluan itu sangat mendesak kerana situasi sekarang menuntut masyarakat Anak Negeri Sabah di Labuan menyeberang ke tanah besar Sabah sekadar mendapat pengesahan dokumen berkaitan adat-istiadat.

