Oleh David E Gilingan
KOTA KINABALU | 23 Dis 2024: Rakyat Sabah merayakan semua perayaan kerana sebahagian besar di kalangan mereka mempunyai ahli keluarga atau saudara mara berlainan agama dan budaya.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata sambutan setiap perayaan memberi kegembiraan kerana disambut secara bersama tanpa mengira anutan agama dan latar keturunan demi mengerat silaturahim, persefahaman dan semangat kekeluargaan.
“Saya berharap, perpaduan erat dan kerjasama padu berkekalan demi meningkatkan produktiviti dan inovatif dalam kementerian,” katanya.
Dr Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) berkata demikian sempena Sambutan Hari Natal 2024 dan Tahun Baru 2025 kementerian itu.
Seterusnya Dr Jeffrey berterima kasih di atas sokongan dan komitmen warga kementerian itu beserta jabatan-jabatan dan agensi-agensi di bawahnya dalam membangun sektor pertanian demi keterjaminan makanan, serta kesejahteraan hidup golongan sasar kementerian itu.
Sambutan itu dianjurkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dengan kerjasama MAFFI, jabatan dan agensi di bawahnya.
Pelbagai pengisian sempena sambutan itu, antaranya Pertandingan Hiasan Jabatan Tercantik, Pertandingan Koir Krismas dan Pertandingan Hiasan Gerai Tercantik berkonsep sambutan Krismas.